Papan Kenyataan

Selamat Datang Ke Blogspot Pkl Branch Libraries

.

Sabtu, 20 September 2008

Perpustakaan Kuala Lumpur


CANTIK... Perpustakaan Kanak-Kanak Kuala Lumpur terletak di tempat yang strategik iaitu berdekatan dengan Dataran Merdeka manakala gambar kecil ialah ruang membaca. 

- Gambar HAFIZH KHOSMAT

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Semuanya khas untuk kanak-kanak. Itulah gambaran yang paling sesuai dikatakan bagi Perpustakaan Kanak-kanak Kuala Lumpur yang terletak berdekatan dengan Dataran Merdeka.

Dari pemilihan buku, peralatan, warna pada dinding serta susun atur peralatan semuanya seiring dengan cita rasa kanak-kanak supaya objektif untuk menggalakkan mereka berminat dengan bahan bacaan tercapai.

Perpustakaan di bangunan setinggi dua tingkat itu mula beroperasi pada tahun 2004, setelah dipindahkan dari Perpustakaan Peringatan Kuala Lumpur yang terletak berdekatan, bagi memudahkan pengunjung terutamanya kanak-kanak datang kerana lokasinya yang lebih strategik.

Perpustakaan kanak-kanak itu kini mempunyai hampir 6,000 ahli yang sebahagian besarnya terdiri daripada kanak-kanak yang menetap di Kuala Lumpur dan Selangor.

Idea mewujudkan perpustakaan kanak-kanak ini bermula daripada inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membudayakan aktiviti membaca di kalangan pelbagai peringkat umur kanak-kanak.

Bersesuaian dengan namanya, hanya kanak-kanak yang berumur empat hingga 12 tahun sahaja boleh mendaftar sebagai ahli dengan membayar yuran pendaftaran sebanyak RM6 sahaja. Tiada yuran tahunan dikenakan.

Ia dibuka setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad kecuali pada hari Sabtu dan Ahad minggu pertama serta cuti umum.

"Mungkin dengan cara ini, ibu bapa dapat menggalak dan mendidik anak masing-masing supaya mencintai ilmu dan menambah pengetahuan melalui pembacaan.

"Selain itu, ibu bapa juga boleh sama-sama menyertai aktiviti yang dijalankan di sini dan mereka juga dapat meluangkan masa berkualiti dan suasana yang tenang bersama anak-anak mereka," kata Pustakawan Kanan, Norizam Ab. Ghani.

Menurutnya, setiap koleksi bahan bacaan di perpustakaan itu dikelaskan mengikut kategori bagi memudahkan pengunjung mencari buku yang mereka gemar.

Beliau berkata, kebanyakan buku yang ada disediakan oleh pengurusan perpustakaan ini terdiri daripada cerita rakyat dari dalam dan luar negara.

"Buku-buku yang disediakan di perpustakaan ini adalah dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta terdiri daripada pelbagai jenis termasuk cerita rakyat dari dalam dan luar negara.

"Kesemua buku yang diletakkan di dalam perpustakaan ini dipilih berdasarkan kepada isi kandungan yang mengandungi nilai dan moral yang baik untuk tatapan kanak-kanak," jelasnya ketika ditemui di perpustakaan itu.

Ujarnya, buku-buku yang terdapat di perpustakaan berkenaan telah melalui proses pemilihan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada bekas pustakawan yang mempunyai pengalaman luas dalam pemilihan buku yang sesuai dengan kumpulan sasaran.

Beliau menambah, selain koleksi buku, kanak-kanak juga boleh menelaah pelajaran di perpustakaan itu kerana buku-buku rujukan murid yang akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) turut disediakan.

"Bagi calon UPSR, perpustakaan ini juga boleh dijadikan tempat perbincangan secara berkumpulan bersama rakan-rakan dalam suasana yang lebih selesa.

"Bukan itu sahaja, pada setiap dua minggu sekali, perpustakaan ini juga akan mengadakan satu program di mana semua kanak-kanak boleh mendengar cerita dalam bahasa Inggeris dan Melayu yang diceritakan oleh petugas yang dilantik oleh pihak pengurusan perpustakaan," katanya.

Bagaimanapun, kata Norizam, program bercerita itu hanya dibuka kepada 50 orang ahli yang terawal mendaftar bagi mengikuti program itu," jelasnya.

Katanya, program bercerita itu adalah antara program yang paling mendapat sambutan kerana cara pencerita yang bijak menceritakan sesuatu dengan intonasi dan gaya membuatkan kanak-kanak seronok mendengarnya.

"Pencerita itu juga bijak berinteraksi dan berkomunikasi bersama kanak-kanak menyebabkan mereka bertambah seronok ketika mendengar cerita," katanya yang berharap lebih ramai kanak-kanak akan menjadi ahli perpustakaan ini.

Bukan itu sahaja, kata Norizam, pihaknya juga menyediakan kelas komputer atau lebih dikenali sebagai 'Cyberkids' yang mengajar kanak-kanak mengenai asas komputer.

Menurutnya, kelas komputer yang dikendalikan oleh guru sukarela itu boleh memuatkan 20 orang pada satu-satu masa.

Katanya lagi, buat masa ini, kelas komputer itu dijalankan sebanyak satu sesi dan modul pengajaran disediakan oleh guru komputer itu sendiri.

"Pada setiap bulan, perpustakaan ini juga menganjurkan pertandingan 'jigsaw puzzle' dengan kerjasama syarikat pengeluar minuman, Sunquick dan terbuka kepada ahli perpustakaan yang mendaftar sahaja.

"Pada bulan Disember nanti, pihak perpustakaan akan membuat pertandingan mencari juara antara juara," tambahnya lagi disini.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-2612 3514 atau layari laman web klcitylib.dbkl.gov.my.

Sumber Dari :

Utusan Online ( Kota )


Tiada ulasan:

Catat Ulasan