Papan Kenyataan

Selamat Datang Ke Blogspot Pkl Branch Libraries

.

Sabtu, 7 Mac 2015

DBKL sediakan RM8 juta


06.03.2015 ( Jumaat )

Elyas OMAR (kanan) melihat pelbagai gambar yang dipamerkan dalam Majlis Sambutan Jubli Perak Perpustakaan Kuala Lumpur, semalam – BERNAMA 

KUALA LUMPUR 5 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM8 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih 12 perpustakaan kendaliannya dalam usaha­ menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya ilmu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, daripada jumlah tersebut, RM5 juta akan digunakan untuk membina dan membaik pulih bangunan­ perpustakaan manakala RM3 juta lagi bagi kelengkapan peralatan serta buku.

“Antara yang terlibat ialah Perpustakaan Kuala Lumpur, Jalan Raja dan cawangan Taman Tun Dr. Ismail. Proses penambahbaikan ini bertujuan melahirkan masyarakat yang lebih beretika dan berpengetahuan­ serta menggalakkan amalan membaca,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak Perpustakaan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar dan Pengerusi Perpustakaan Kuala Lumpur, Datuk Seri Matshah Safuan.

Dalam majlis itu, kedua-duanya menerima Anugerah Tokoh Perpustakaan Kuala Lumpur sebagai menghargai kejayaan mereka dalam mentransformasi Perpustakaan Kuala Lumpur yang dahulunya dikenali sebagai Pustaka Peringatan Kuala Lumpur.

Bagi memperkasakan penubuhan perpustakaan di ibu kota, Ahmad Phesal berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan­ 18 buah bank bagi mendapatkan dana untuk membiayai pembinaan perpustakaan di kawasan perumahan dan lokasi tumpuan orang ramai.

“Kerjasama itu dibuat bagi menampung kos pembinaan perpustakaan yang tinggi iaitu antara RM150,000 hingga RM4 bilion. Untuk­ permulaan perpustakaan akan dibina di Pudu Sentral dan Projek Perumahan Rakyat Bukit Jalil,” ujarnya.

Dalam pada itu, jelasnya, ahli-ahli­ perpustakaan kini boleh membuat tempahan buku dan memperbaharui keahlian secara online manakala pinjaman dan pemulangan­ buku pula menggunakan mesin layan diri tanpa perlu berurusan di kaunter.

“Selain membuat pinjaman buku dan cakera padat, pengunjung juga boleh menonton video di ruang realiti maya secara berkumpulan. Kemudahan internet dan Wifi disediakan secara percuma kepada pengunjung.

“Kemudahan yang sama juga boleh didapati di hampir semua perpustakaan cawangan di Taman Tun Dr. Ismail, Gombak Setia, Setiawangsa, Jelatek, Bandar Tun Razak, Desa Tun Razak, Sri Sabah, Sri Pantai dan Bandar Baru Sentul,” katanya.- 

Sumber Dari : Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan