KUALA LUMPUR 29 Jan. - Lebih 20,000 penduduk sekitar Lembah Pantai bakal menikmati kemudahan Perpustakaan 1Malaysia yang merupakan projek perkongsian pintar pertama antara kerajaan dan swasta.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, perpustakaan yang akan dibina dalam masa terdekat itu mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Menurutnya, perpustakaan berkeluasan 17,000 kaki persegi dan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk alat pandang dengar dan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) akan disiapkan dalam tempoh sembilan bulan itu.
"MRCB juga akan membina dua buah lagi perpustakaan yang sama di Taman Medan Idaman, Setiawangsa dan Jalan Wirawati, Titiwangsa yang dijangka siap sepenuhnya pada awal 2015," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut yang terletak bersebelahan dengan Projek Perumahan Rakyat Kerinchi di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup dan Pengarah MRCB, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Tambah Raja Nong Chik, perpustakaan tersebut akan dilengkapi 15,000 bahan bacaan termasuk 1,500 naskhah yang disumbangkan oleh MRCB pada permulaan operasinya.
"Selain itu, perpustakaan ini juga akan menyediakan aktiviti berbentuk pendidikan seperti tuisyen dalam talian, serta dilengkapi kafeteria bagi memudahkan pengunjung," katanya.
Ujarnya, pembinaan perpustakaan yang berkonsepkan 'pusat ilmu komuniti setempat' itu perlu terletak dalam lingkungan kawasan majoriti penduduk yang berpendapatan rendah.
"Pemilihan kawasan juga dilakukan secara teliti oleh pihak DBKL kerana produk ini akan membantu pengguna meningkatkan akses yang lebih luas kepada sumber ilmu dan maklumat," ujarnya.
Sementara itu, Raja Nong Chik turut mengumumkan penubuhan Sahabat Perpustakaan 1Malaysia Lembah Pantai bagi mengelak kemudahan di perpustakaan itu disalah guna atau dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Kementerian sedang menyusun (penubuhan) jawatankuasa sementara yang melibatkan persatuan penduduk PPR Kerinchi dan beberapa perumahan sekitar Pantai Dalam," katanya.
Sumber : Utusan Online 30/01/2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan