Papan Kenyataan

Selamat Datang Ke Blogspot Pkl Branch Libraries

.

Sabtu, 26 Oktober 2013

Perpustakaan Bandar Baru Sentul


KUALA LUMPUR 25 Okt. - Syarikat Konglomerat terkenal YTL Corporation melebarkan lagi tanggungjawab sosialnya untuk merapatkan jurang digital di kalangan miskin bandar dengan menubuhkan sebuah pusat teknologi maklumat (IT), iaitu Pusat Creative Learning & IT Centre (CLIC) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul.

Pusat itu memberikan kemudahan IT yang lengkap iaitu kemudahan internet jalur lebar 4G dengan set komputer Google Chromebook yang akan memberi kemudahan ICT kepada pelajar dan komuniti di sekitar Sentul.

Timbalan Pengarah Urusan YTL Corporation, Datuk Yeoh Seok Kian berkata, penubuhan CLIC yang dijangka mula beroperasi pada awal tahun hadapan, mewujudkan ruang untuk remaja menyalurkan tenaga dan masa melalui aktiviti pembelajaran yang kreatif, interaktif dan holistik.

"Pusat CLIC ini akan membawa manfaat kepada 5,374 buah keluarga dari perumahan awam dan 11,000 orang pelajar dan 20 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Sentul," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Program Bintang Cemerlang 2013 dan Piala Pusingan Datuk Bandar 2012 kali keenam di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Menara DBKL 1 Jalan Raja Laut di sini, semalam.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu turut dihadiri oleh Timbalan Menterinya, Loga Bala Mohan Jaganathan; Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib; Pengerusi YTL Land and Development Bhd., Datuk Suleiman Abdul Manan dan Pengarah Eksekutif Sentul Raya Sdn. Bhd., Datuk Hamidah Makta.

Pengerusi Local Agenda 21 Kuala Lumpur, Datuk Normah Malik; dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdullah Mad Yunus.

Dalam majlis itu, Sekolah Rendah Convent Sentul 1 Sentul diumumkan sebagai Sekolah Rendah Terbaik untuk Program Bintang Cemerlang 2013 manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul pula untuk kategori Sekolah Menengah terbaik dan turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Piala Pusingan Datuk Bandar 2012 dengan masing-masing membawa pulang plak kemenangan dan wang tunai sebanyak RM8,000.

Seok Kian berkata, YTL memandang perkembangan teknologi maklumat sebagai sangat penting kerana menjelang tahun 2015 sebanyak 90 peratus pekerjaan akan memerlukan pekerja yang memiliki kemahiran asas bidang IT manakala graduan universiti yang memiliki kemahiran tersebut bakal ditawar gaji lebih tinggi berbanding lulusan dalam bidang lain.

"Diharapkan penubuhan CLIC ini, dengan kerjasama Sentul Raya Sdn. Bhd., dan DBKL, akan membantu dalam mencapai matlamat bagi melahirkan modal insan selaras dengan harapan kerajaan yang menekankan aspek penguasaan ilmu dan kemahiran IT," katanya.

Sebelum itu dalam ucapan perasmiannya, Tengku Adnan memuji usaha YTL dengan kerjasama pelbagai pihak lain iaitu Sentul Raya Sdn. Bhd., DBKL dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan untuk menjayakan Program Bintang Cemerlang Bandar Raya Sejahtera Local Agenda 21 Kuala Lumpur.

"Sejak pelancarannya pada tahun 2008 sehingga kini, program ini telah melibatkan 80,000 pelajar, 4,000 guru dan 420,000 ahli keluarga dari sekitar Sentul yang telah memberi impak besar dan memberangsangkan melalui peningkatan prestasi pelajar dari pelbagai aspek terutamanya kecemerlangan dalam akademik, sahsiah diri dan sukan.

"Pada tahun ini sahaja hampir 20,000 pelajar dan guru dari 24 buah sekolah telah terlibat secara langsung dengan pelbagai program dan seramai 304 pelajar menerima Anugerah Bintang Cemerlang iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tahun lepas," katanya.

Melalui program itu, seramai 48 pelajar berjaya mewakili Kuala Lumpur sebagai atlet, termasuk bertanding di Sukan Malaysia (Sukma) dan enam lagi mewakili negara di peringkat antarabangsa, katanya.

Sumber :

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan